Friday 15 June 2012

Virus


Virus

Dalam dunia komputer, virus merupakan suatu program yang berpindah melalu 'network' dan   'operating  system' dan kebanyakannya menempatkan diri mereka pada database (pangkalan data) dan program yang berbeza. Sesetengah virus tidak berbahaya kepada sistem komputer tetapi sebahagian besar jenis virus  bersifat perosak. Apabila diaktifkan, virus boleh menjejaskan atau memadam file. Sesetengah virus mampu  memadam semua file pada hard disk dan merosakkan sistem komponen komputer.



Worms adalah sejenis virus khas yang tidak menempatkan dirinya pada sesuatu program atau database tetapi lebih kepada memenuhi sistem komputer dengan bertindak mereplikakan diri sehingga banyak menyebabkan kesesakan sistem dan operasi komputer menjadi lambat dan akhirnya terhenti. Internet Worms juga boleh menjadi pembawa kepada virus lain yang ditempatkan  pada sistem komputer. Sekiranya ini berlaku, virus akan aktif dengan segera dan akan menjejaskan sistem komputer. Secara ringkas, virus dan worms adalah program perosak yang berasal dari file yang dimuat turun daripada internet dan merupakan  penyakit komputer.

Antara virus dan worms yang sering  merebak masuk ke dalam system komputer :

Trojan:Win32/Sirefef.P
Virus:Win32/Patchload.O
Trojan:Win32/Conedex.A
Trojan:Win32/Sirefef.D
Trojan:Win32/Sirefef.S
Trojan:Win32/Sirefef.E
Backdoor:Win32/Fynloski.A
Trojan:Win32/Nebuler.R
Worm:Win32/Dorkbot!Ink
TrojanDropper:Win32/Sirefef.B



Tips menghindari virus dan worms:
1) Menggunakan program antivirus. Install program antivirus pada komputer dan menjalankan proses scanning secara kerap.
2) Memeriksa (scanning) 'disks' dengan antivirus
3) Memeriksa  file sebelum memuat turun daripada Internet
4) 'Update' program antivirus kerana setiap hari virus baru akan muncul

Maksiat ibarat virus
Begitu jugalah dengan diri manusia, maksiat boleh diibaratkan sebagai virus yang pasti akan merosakkan  hati dan rohani manusia. Maksiat yang dilakukan pasti akan meninggalkan kesan pada hati. Sabda Rasulullah S.A.W:

 "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).                                                     
       
 Perbuatan dosa yang dilakukan akan meninggalkan satu titik hitam pada hati. Jika dosa dilakukan secara berterusan, titik hitam akan semakin bertambah.Titik hitam yang semakin hari memenuhi hati, ibarat worms
yang memenuhi dan menyesakkan sistem komputer ; menyebabkan hati semakin gelap dan sukar untuk menerima  hidayah Allah.  Akhirnya seseorang itu semakin jauh dari Allah.

Peringkat dosa
Dosa yang dilakukan akan berlanjutan secara berterusan ke peringkat yang lebih berbahaya jika tidak
diubati.

Peringkat pertama
Seseorang yang melakukan dosa menangguh-nangguhkan atau lambat bertaubat dan menyesali dosanya. Jika dibiarkan berterusan, maka ia akan naik ke peringkat seterusnya.

Peringkat kedua
Seseorang itu tidak merasa apa-apa terhadap dosa yang dilakukan apabila dia merasa dosa yang
dilakukannya itu sebagai perkara biasa. Peringkat ini adalah bahaya kerana akan membuka pintu-pintu  maksiat yang lebih buruk lagi.

Peringkat ketiga
Seseorang itu merasa bangga dengan perbuatan dosa yang dilakukannya. Peringkat ini akan sampai kepada  suatu situasi dimana orang yang membuat dosa mula merasa sombong, bongkak dan riak. Sebagai contoh, ucapan “ aku main judi ni biasala, dah banyak kali menang”.

Peringkat keempat
Seseorang itu bangga dengan perbuatan dosanya dan mula memandang rendah dan hina terhadap kebaikan dan kebajikan. Pada peringkat ini orang tersebut mula mencabar Al-Quran, Hadis & Sunnah kerana sifat sombong, bongkak dan riak sudah sepenuhnya menguasai diri.

Kembali kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai antivirus penyakit dosa. Dalam dunia teknologi, antivirus dicipta bagi menghalang dan melumpuhkan serangan daripada virus  perosak terhadap sistem komputer. Sebelum memusnahkan suatu virus, antivirus perlu membuat proses 'scanning' iaitu pemeriksaan kepada sistem komputer untuk mengesan kehadiran sesuatu virus. Jika sesuatu virus berjaya dikesan kehadirannya, antivirus akan bertindak segera memadam virus tersebut.

Untuk menjauhi sesuatu perbuatan dosa, seseorang hamba Allah itu hendaklah melakukan proses 'scanning' terhadap dirinya bagi menilai dan memeriksa dirinya sejauh mana dia mematuhi dan menjalani segala peraturan dan hukum Allah. Dengan merujuk Al-Quran dan Sunnah, barulah segala peraturan syariat Allah dapat dipatuhi dan diikuti. Segala hukum yang terkandung dalam  Al-Quran dan Sunnah menjadi antivirus  kepada manusia iaitu menghalang manusia daripada melakukan segala larangan Allah. Apabila larangan  Allah dijauhi, maka dosa juga dapat dijauhi. Bukan itu sahaja, dengan mengamalkan syariat Allah, maka dosa-dosa yang terdahulu dapat dihapuskan. Kembali kepada ajaran Al-Quran & Sunnah diibaratkan sebagai antivirus yang bukan sahaja mengesan virus-virus dosa, menghalang serangan virus maksiat, bahkan menghapuskan virus-virus dosa.

Penghapusan virus dosa
Apabila segala suruhan dan perintah Allah dipatuhi, maka Allah menjanjikan pengampunan dosa. Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan sesuatu amalan dalam Islam yang menghapuskan dosa-dosa seseorang hamba Allah itu selagi dia tetap berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

(1) SOLAT LIMA WAKTU
Rasulullah bersabda : "Saya mendengar Rasulullah berkata: "Bagaimana pendapatmu, jika ada sungai di
depan pintu (rumah) seseorang di antara kamu dan dia mandi darinya lima kalis setiap hari, apakah ada kotoran yang tersisa darinya?" sahabat menjawab: "Tidak tersisa sedikit pun kotoran darinya." Nabi Muhammad S.A.W berkata: ‘Demikian itu adalah perumpamaan solat lima waktu, yang dengannya Allah menghapuskan segala kesalahan dan dosa." (Muttafaq Alaih)

(2) SOLAT TAUBAT
Rasulullah bersabda : "Jika seseorang manusia melakukan dosa (kecil) lalu dia berwuduk dengan sempurna, mendirikan solat dua rakaat kemudian memohonkan ampunan kepada Allah, maka dia diampunkan dosanya. Lalu Nabi Muhammad s.a.w.membaca ayat ini: ‘Orang-orang yang melakukan perbuatan keji atau menganiayai dirinya, kemudian mereka ingat kepada Allah, lalu meminta ampun kepada Allah…" Dia  diampuni dosanya." (Ali B.Abi Talib)

(3) SOLAT JUMAAT
Hari Jumaat adalah terpenting dan paling utama dalam seminggu. Solat Jumaat menghapuskan keburukan  dan dosa. Rasullullah bersabda: "Barangsiapa berwuduk dengan sempurna, kemudian mendirikan solat  Jumaat dan dia mendengar khutbah dengan tekun, maka terampuni dosanya antara hari itu dengan Jumaat berikutnya dan ditambahkan tiga hari. Barang siapa yang melengah-lengahkannya, maka tiadalah pahalanya." (Riwayat Muslim).

(4) MEMBACA AMIN
Rasulullah bersabda : "Jika imam membaca amin maka bacalah amin. Sebab orang yang membaca amin  bersama aminnya malaikat, maka dia diampuni dosanya yang telah silam." (Riwayat Al Bukhari)

(5) BANGUN DARI RUKUK (Iktidal)
Rasulullah Bersabda : "Jika imam mengucapkan: "Sami' allahu liman hamidah’, maka berkatalah: "Allahumma rabbana lakal hamd’. Sebab, siapa yang ucapannya bertepatan dengan ucapan malaikat, maka dia di ampuni dosanya yang telah lalu." (Riwayat Bukahri)

(6) QIAMULLAIL
Sesungguhnya qiamullail adalah etika dan pekerjaan orang-orang yang baik dan bahagia. Rasululullah  bersabda : "Lakukanlah qiamullail. Sebab qiamullail itu tradisi orang-orang yang salih sebelum kamu dan sebagai pendekatan kepada Allah, penanggal dosa dan penghapus keburukan serta mengusir penyakit dari badan." (HR Ahmad.Tirmizi, Hakim dan Baihaqi)

(7) WUDUK
Rasulullah bersabda : "Jika seseorang Muslim atau Mukmin mengangkat wuduk, maka ketika membasuh mukanya, segala kesalahan kerana pandangan matanya keluar bersama-sama air atau bersama akhir ketitisan air. Jika dia membasuh kedua tangannya bersama air atau bersama akhir titisan air. Jika dia membasuh kedua kakinya, maka keluarlah dosa yang dilakukan kedua kakinya bersama air atau bersama  akhir titisan air, hingga dia bersih dari semua dosa." (Riwayat Muslim) Rasulullah bersabda : "Mahukah kamu  aku tunjukkan sesuatu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan dan mengangkat darjat? Sahabat menjawab: Mahu Ya Rasulullah! Nabi s.a.w berkata: "Menyempurnakan wuduk pada waktu subuh yang dingin dan banyak melangkah ke masjid serta menunggu solat jemaah setelah solat sunnah. Yang demikian itu  adalah ikatan kepada Allah." (Riwayat Muslim)



(8) AZAN
Azan adalah salah satu syiar Islam yang nyata dapat menghapuskan keburukan. Rasulullah bersabda : "Barangsiapa yang ketika selesai mendengar azan mengatakan : ‘Asyahadu an la ilaaha illallah wahdahu la syrikalalahu wa anna Muhammadan ‘abduhu wan rasulan wa bil Islami dinan. (Saya menyatakan tiada Tuhan selain Allah yang Maha Esa tanpa sekutu apa pun bagiNya. Saya menyatakan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya. Saya rela Allah sebagai Tuhan dan Islam sebagai agamaku, maka dia diampuni dosanya." (Riwayat Muslim) Rasulullah bersabda : "Orang yang azan itu diampuni dosanya sepanjang suaranya dan disaksikan oleh setiap (tumbuhan) yang kering dan yang basah. Orang yang menghadiri solat itu dituliskan 25 kali solat dan dihapuskan dosanya antara solat dengan solat berikutnya." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

(9) BERJALAN KE MASJID (Tempat solat)
Rasulullah bersabda : "Barang siapa bersuci (wuduk) di rumahnya, kemudian berjalan ke salah satu tempat ibadah untuk melaksanakan salah satu kewajipan terhadap Allah, maka kedua langkahnya itu sebagai penghapus dosa dan langkah yang lain mengangkat darjatnya." (Ibnu Majah)

(10) SEDEKAH
Rasulullah bersabda : "Takutlah kamu pada neraka!"Kemudian Nabi Muhammad s.a.w mundur dan memalingkan wajahnya, kemudian berkata: 'Takutlah kamu pada neraka!' Kemudian mundur dan
memalingkan wajahnya tiga kali, hingga kami mengira bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melihat neraka. Kemudian Nabi s.a.w berkata: 'Takutlah kamu kepada neraka walaupun dengan sepotong kurma dan jika tidak mendapatkannya, maka cukup dengan kalimah tayyibah." (HR Bukhari).

(11) PUASA
Rasulullah bersabda : "Barang siapa berpuasa satu hari di jalan Allah, maka Allah menjauhkannya dari neraka (sejauh perjalanan)70 tahun." (Abu Said al-Khudri).

(12) HAJI DAN UMRAH
Rasulullah bersabda : "Barangsiapa yang haji ke Baitullah (Kaabah) dan dia tidak berkata perkataan yang mencemarkan dan tidak melanggar syariat maka dia kembali seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya." (Abu Hurairah).

(13) TAWAF
Rasulullah bersabda : "Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Barang siapa yang tawaf tujuh kali, ia seperti memerdekakan seorang hamba."Saya mendengar beliau berkata: 'Tidaklah seseorang meletakkan satu kaki dan mengangkat kaki yang lainnya melainkan di hapuskan satu dosa darinya dan ditulis satu kebaikan baginya." (Umar Radhiyallahu Anhu).

(14) HARI ARAFAH
Rasululllah bersabda : "Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan manusia dari neraka selain dari hari Arafah. Sesungguhnya Allah membanggakan manusia kepada para malaikat, lalu berfirman: 'Apa yang dikehendaki mereka?' (Aisyah). Jelaslah bahawa sebenarnya banyak amalan yang boleh dilakukan untuk menghapuskan dosa yang telah kita lakukan selain dari kita memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadanya. Semua ini perlu kita ketahui agar amalan kita bukanlah suatu peniruan tingkahlaku tetapi kita amalkan kerana menuntut keredaan Allah dan ganjaran yang telah dijanjikan.



Update Iman anda
Antivirus dalam suatu perisian komputer perlu di'update' iaitu mengemaskini fungsi-fungsi tertentu antivirus tersebut bagi meningkatkan pertahanan dan kekuatan fungsinya melawan serangan virus kerana setiap masa pasti akan wujud pula virus yang baru yang mempunyai ciri-ciri tersendiri. Seseorang hamba Allah itu hendaklah sentiasa mengemaskini imannya kerana setiap masa sentiasa ada ujian dan dugaan yang bakal dihadapi. Hal ini perlu dilakukan kerana iman itu boleh meningkat dan menurun. Sebagaimana pendapat ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang berpegang bahawa iman boleh meningkat dengan amalan ketaatan dan boleh menurun dengan perbuatan dosa. Allah S.W.T berfirman:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat- ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Surah Al-anfaal:2)


Sebagaimana antivirus perlu sentiasa di'update', maka iman manusia juga perlu sentiasa diupdate dengan sentiasa mengingatkan manusia itu sendiri. Antara amalan yang baik untuk dilakukan bagi meng'update' iman  adalah;

1. Membaca dan mendengar Al-Quran
2. Mendengar tazkirah/nasihat daripada orang-orang soleh dan beriman
3. Berusaha meningkatkan kefahaman dalam Islam
4. Membanyakkan menyebut nama Allah.
5. Banyak meningati mati



opss...check balik hati anda! Bila anda rasa gelisah ketika melakukan perkara di atas, pasti ada masalah pada hati. Sebaliknya, jika berasa tenang ketika melakukannya, alhamdulillah anda perlu terus dan tingkatkan usaha :-)



"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat- ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah."

Moga ada manfaat bersama.

Betulkan yang silap, sebarkan yang benar,
Nukilan hamba yang fakir lagi lemah,
Syarif Hidayatullah
9.52 pagi Jumaat, 15 Jun 2012





























No comments:

Post a Comment