Monday 23 January 2012

Ubat Rindu untuk Sang Perantau

Alangkah gembiranya setelah mendapat surat tawaran masuk ke universiti atau kolej. Sudah pasti debaran terasa di hati, jiwa memikirkan bagaimana keadaan atau suasana apabila bergelar mahasiswa di universiti nanti. Bagi pelajar yang beriman, kepada Allah lah segala pujian dan syukur ditujukan atas kurniaan yang diberikan. Bersyukurlah, anda telah dipilih oleh Allah! Malangnya ada yang berkata segala kejayaan yang dikecapi adalah disebabkan usaha dan ikhtiarnya sendiri selama ini tanpa mengharapkan pergantungan kepada Allah, alangkah sombongnya manusia ini! Semoga kita dijauhkan dari sifat ini, Na'uzubillahiminzalik!

Kebiasaannya orang yang melanjutkan pelajaran di tempat yang jauh akan disebut sebagai perantau, Namun ungkapan ini boleh dimaksudkan juga dengan orang yang bekerja di tempat orang yang jauh dari tempat asalnya. Kali ini, diri yang lemah ini memfokuskan perantau dari sudut pelajar universiti.

Ketahuilah, kehidupan dan cara hidup di universiti sangat berbeza dengan sekolah. Jika di sekolah, terdapat pengawas ataupun guru disiplin yang memantau kita agar sentiasa mematuhi peraturan, guru sering memerhatikan kita dalam kelas, adanya ibu bapa yang selalu menasihati dan berbagai-bagai lagi perkara yang menurut pendapat sebilangan pelajar semua itu menyekat kebebasan pelajar. Terpulang kepada 'attitude' pelajar itu dari segi bagaimana dia menganggapnya sebagai positif atau negatif untuk dirinya.


Universiti merupakan salah satu medan dugaan yang mesti ditempuhi oleh pelajar yang akan menjadi salah satu proses mematangkan diri sendiri. Ujian atau dugaan itu datang dengan pelbagai cara dan orang yang beriman itu pasti akan diuji. Allah berfirman " [29:2] Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?
[29:3] Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. " [al-Ankabut: 2-3]


Tidak hairanlah apabila ada kawan-kawan sekolah kita yang berubah menjadi lebih lebih baik dan dapat mengamalkan Islam dengan yang sebenarnya. Namun, ada juga yang semakin jauh dengan cara hidup sebagai muslim. Ada yang menutup aurat dengan sempurna di sekolah, tapi malangnya setelah ke universiti menjadi sebaliknya, ada pula yang 'complete' pelaksanaan solat 5 waktunya namun berkurang menjadi 2 atau 3 setelah ke universiti. Semoga kita sentiasa dalam pemeliharaan Allah dalam menjalani kehidupan sebagai muslim, amiin!

Setelah berlalu beberapa bulan yang lalu, pasti seorang pelajar itu akan teringat atau terkenang kehidupan di sekolah dahulu lebih-lebih lagi dia seorang yang aktif dalam persatuan mahupun badan-badan dakwah di sekolah. Perasaan ini merupakan fitrah seorang aktivis dakwah di sekolah apabila dia masih belum menjumpai atau menemui jalan atau cara untuk dia meneruskan kegiatan dakwahnya setelah beberapa tempoh yang lama di universiti. Perasaan ini digambarkan oleh sesetengah orang yang merasanya sebagai 'rindu' atau 'haus dan dahaga'

Tidak dinafikan perasaan ini pasti ada untuk seseorang lepasan sekolah yang berkecimpung dalam aktiviti dakwah semenjak di bangku sekolah. Jiwanya merasa kosong seandainya keinginannya itu belum tertunai. Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah kerana Allah masih meletakkan seseorang itu di suatu jalan yang mulia, dan sehendaknya sesuatu usaha mesti dilakukan supaya semangat itu tidak luntur dek berlalunya masa dan akhirnya terbantut. Alhamdulillah, atas ilham Allah beserta pengalaman lalu, diri ini merasa terpanggil untuk mencadangkan ubat mujarab yang perlu diberi terhadap 'golongan haus dan rindu' ini. Ubat tersebut:

1) Mencipta persahabatan
Siapakah sahabat? bagaiman mencari sahabat? dan dengan siapa kita mencipta persahabatan? Saranan diri yang lemah ini, carilah sahabat yang selalu mengajakmu ke arah kebaikan bahkan berani menegurmu tatkala dirimu alpa dan melakukan kesilapan. Ingatlah, sahabat ialah orang yang sentiasa di sisimu apabila senang mahupun susah, Sahabat yang terbaik itu adalah apabila engkau melihatnya hatimu mengingati Allah. Untuk mencari sahabat, engkau perlu menjadi sahabat kepada orang yang engkau ingin jadikan sahabat. Tak faham? maksudnya amalkan sifat sahabat jika ingin mencipta persahabatan. Dan bersyukurlah, jika engkau mendapat sahabat yang sentiasa bersama denganmu melakukan amar ma'ruf wa nahi munkar. Bersahabat kerana Allah adalah ubat mujarab untuk si pesakit rindu.

2) Menjaga solat berjemaah di surau atau masjid
Seperti yang kita tahu, solat berjemaah merupakan fardhu kifayah yang mana tuntutan tersebut wajib ditunaikan oleh sebahagian umat Islam. Ringkasan tentang tuntutan berjemaah dari rakanmasjid.com:

Tuntutan berjemaah pada solat fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.

Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa,

Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:

Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.

Fadhilat (kelebihan) solat berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.

 Tetapi yang paling penting masjid bukan sahaja tempat untuk meraih pahala, bahkan untuk membina ukhuwah antara muslim yang datang ke masjid. Tidakkah sejuk hati kita melihat diri kita bersama-sama melakukan perintah yang agung secara berjemaah dengan barisan yang cantik dan teratur? Bagi diri yang lemah ini, melalui solat berjemaahlah hati sentiasa mendapat ketenangan.


2) Melibatkan diri dalam program keagamaan.
Jiwa yang haus perlu dirawat dengan program-program keilmuan dan keagamaan. Di peringkat universiti terdapat pelbagai majlis ilmu yang boleh disertai di tempat dan waktu tertentu, program seperti kuliah agama, ceramah, forum, wacana, diskusi, debat ilmiah, majlis talaqqi, halaqah dan lain-lain yang mampu meningkatan kefahaman kita dalam Islam. Renungkanlan firman Allah:

" Allah mengangkat orang yang beriman dari golonganmu dan juga orang-orang yang dikurniakan Ilmu Pengetahuan hingga beberapa darjat" (al-Mujadalah ayat 11)

Di dalam riwayat:  “Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu.
(Hadis riwayat at-Tirmizi).

Sudah jelas bahawa besar fedahnya menghadiri majlis-majlis ilmu seperti yang disebutkan. Bahkan persahabatan juga boleh dicipta apabila berada bersama orang yang bersemangat memantapkan lagi kefahaman dalam Islam. Menghadirkan diri dalam majlis seperti pasti akan mendekatkan diri seseorang itu kepada Allah.  Ubat ini juga mujarab bagi golongan yang haus!

3) Usrah
Seseorang yang benar-benar menghayati usrah  pasti akan berasa tidak sedap hati jika meninggalkannya sehingga menimbulkan ketidaktenteraman dalam hatinya lebih-lebih lagi orang yang telah lama menyertai usrah semenjak di bangku sekolah. Usrah yang merangkumi taaruf, tafahum, dan takaful inilah yang akan menjadi penguat silaturahim antara ahli usrah. Usrah bukan sahaja tempat berkongsi ilmu bahkan tempat membina ukhuwah antara ahli usrah apabila rukun-rukun usrah benar-benar diamalkan. USRAH akan menjadi 'reload' atau 'top up' ilmu dan iman seseorang itu. Menurut aktivis dakwah, usrah merupakan salah satu marhalah tarbiyyah bagi seseorang yang berkecimpung dalam kegiatan dakwah, bahkan jika telah lama ditinggalkan, maka sifat pengorbanan dalam diri akan mula luntur sedikit demi sedikit.  Masih 'blur' tentang Usrah? ringkasan tentang usrah dari Saifulislam.com:

“Usrah bukan majlis ilmu, tetapi sebahagian daripada faedah usrah adalah ilmu. Ia juga bukan medan untuk isu-isu semasa, namun mengetahui perkembangan semasa adalah sebahagian daripada pencapaian usrah. Begitu juga dengan ukhuwwah, ia bukan agenda usrah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terhasilnya ukhuwwah. Usrah adalah medan yang mencantumkan ilmu, isu semasa dan ukhuwwah, untuk suatu agenda yang lebih besar iaitu membentuk syakhsiah muslim. Menghasilkan manusia muslim”,

Bagi sesetengah orang berpendapat banyak cara lagi untuk mengubati 'pesakit rindu', namun bagi diri yang lemah ini, empat cara inilah yang menjadi 'madu'  iaitu 'ubat rindu' bagi sang perantau!

Diri yang lemah, Syarif Hidayatullah

2 comments:

  1. Teruskan cess! Aq jadi pembaca setia blog 'pena dakwah' lepas ni.. heheh

    ReplyDelete
  2. syukron ya sodiqi, semoga ilham dan rohmat Allah sentiasa mencurah-curah.

    ReplyDelete