Friday 15 June 2012

Virus


Virus

Dalam dunia komputer, virus merupakan suatu program yang berpindah melalu 'network' dan   'operating  system' dan kebanyakannya menempatkan diri mereka pada database (pangkalan data) dan program yang berbeza. Sesetengah virus tidak berbahaya kepada sistem komputer tetapi sebahagian besar jenis virus  bersifat perosak. Apabila diaktifkan, virus boleh menjejaskan atau memadam file. Sesetengah virus mampu  memadam semua file pada hard disk dan merosakkan sistem komponen komputer.



Worms adalah sejenis virus khas yang tidak menempatkan dirinya pada sesuatu program atau database tetapi lebih kepada memenuhi sistem komputer dengan bertindak mereplikakan diri sehingga banyak menyebabkan kesesakan sistem dan operasi komputer menjadi lambat dan akhirnya terhenti. Internet Worms juga boleh menjadi pembawa kepada virus lain yang ditempatkan  pada sistem komputer. Sekiranya ini berlaku, virus akan aktif dengan segera dan akan menjejaskan sistem komputer. Secara ringkas, virus dan worms adalah program perosak yang berasal dari file yang dimuat turun daripada internet dan merupakan  penyakit komputer.

Antara virus dan worms yang sering  merebak masuk ke dalam system komputer :

Trojan:Win32/Sirefef.P
Virus:Win32/Patchload.O
Trojan:Win32/Conedex.A
Trojan:Win32/Sirefef.D
Trojan:Win32/Sirefef.S
Trojan:Win32/Sirefef.E
Backdoor:Win32/Fynloski.A
Trojan:Win32/Nebuler.R
Worm:Win32/Dorkbot!Ink
TrojanDropper:Win32/Sirefef.B



Tips menghindari virus dan worms:
1) Menggunakan program antivirus. Install program antivirus pada komputer dan menjalankan proses scanning secara kerap.
2) Memeriksa (scanning) 'disks' dengan antivirus
3) Memeriksa  file sebelum memuat turun daripada Internet
4) 'Update' program antivirus kerana setiap hari virus baru akan muncul

Maksiat ibarat virus
Begitu jugalah dengan diri manusia, maksiat boleh diibaratkan sebagai virus yang pasti akan merosakkan  hati dan rohani manusia. Maksiat yang dilakukan pasti akan meninggalkan kesan pada hati. Sabda Rasulullah S.A.W:

 "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).                                                     
       
 Perbuatan dosa yang dilakukan akan meninggalkan satu titik hitam pada hati. Jika dosa dilakukan secara berterusan, titik hitam akan semakin bertambah.Titik hitam yang semakin hari memenuhi hati, ibarat worms
yang memenuhi dan menyesakkan sistem komputer ; menyebabkan hati semakin gelap dan sukar untuk menerima  hidayah Allah.  Akhirnya seseorang itu semakin jauh dari Allah.

Peringkat dosa
Dosa yang dilakukan akan berlanjutan secara berterusan ke peringkat yang lebih berbahaya jika tidak
diubati.

Peringkat pertama
Seseorang yang melakukan dosa menangguh-nangguhkan atau lambat bertaubat dan menyesali dosanya. Jika dibiarkan berterusan, maka ia akan naik ke peringkat seterusnya.

Peringkat kedua
Seseorang itu tidak merasa apa-apa terhadap dosa yang dilakukan apabila dia merasa dosa yang
dilakukannya itu sebagai perkara biasa. Peringkat ini adalah bahaya kerana akan membuka pintu-pintu  maksiat yang lebih buruk lagi.

Peringkat ketiga
Seseorang itu merasa bangga dengan perbuatan dosa yang dilakukannya. Peringkat ini akan sampai kepada  suatu situasi dimana orang yang membuat dosa mula merasa sombong, bongkak dan riak. Sebagai contoh, ucapan “ aku main judi ni biasala, dah banyak kali menang”.

Peringkat keempat
Seseorang itu bangga dengan perbuatan dosanya dan mula memandang rendah dan hina terhadap kebaikan dan kebajikan. Pada peringkat ini orang tersebut mula mencabar Al-Quran, Hadis & Sunnah kerana sifat sombong, bongkak dan riak sudah sepenuhnya menguasai diri.

Kembali kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai antivirus penyakit dosa. Dalam dunia teknologi, antivirus dicipta bagi menghalang dan melumpuhkan serangan daripada virus  perosak terhadap sistem komputer. Sebelum memusnahkan suatu virus, antivirus perlu membuat proses 'scanning' iaitu pemeriksaan kepada sistem komputer untuk mengesan kehadiran sesuatu virus. Jika sesuatu virus berjaya dikesan kehadirannya, antivirus akan bertindak segera memadam virus tersebut.

Untuk menjauhi sesuatu perbuatan dosa, seseorang hamba Allah itu hendaklah melakukan proses 'scanning' terhadap dirinya bagi menilai dan memeriksa dirinya sejauh mana dia mematuhi dan menjalani segala peraturan dan hukum Allah. Dengan merujuk Al-Quran dan Sunnah, barulah segala peraturan syariat Allah dapat dipatuhi dan diikuti. Segala hukum yang terkandung dalam  Al-Quran dan Sunnah menjadi antivirus  kepada manusia iaitu menghalang manusia daripada melakukan segala larangan Allah. Apabila larangan  Allah dijauhi, maka dosa juga dapat dijauhi. Bukan itu sahaja, dengan mengamalkan syariat Allah, maka dosa-dosa yang terdahulu dapat dihapuskan. Kembali kepada ajaran Al-Quran & Sunnah diibaratkan sebagai antivirus yang bukan sahaja mengesan virus-virus dosa, menghalang serangan virus maksiat, bahkan menghapuskan virus-virus dosa.

Penghapusan virus dosa
Apabila segala suruhan dan perintah Allah dipatuhi, maka Allah menjanjikan pengampunan dosa. Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan sesuatu amalan dalam Islam yang menghapuskan dosa-dosa seseorang hamba Allah itu selagi dia tetap berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

(1) SOLAT LIMA WAKTU
Rasulullah bersabda : "Saya mendengar Rasulullah berkata: "Bagaimana pendapatmu, jika ada sungai di
depan pintu (rumah) seseorang di antara kamu dan dia mandi darinya lima kalis setiap hari, apakah ada kotoran yang tersisa darinya?" sahabat menjawab: "Tidak tersisa sedikit pun kotoran darinya." Nabi Muhammad S.A.W berkata: ‘Demikian itu adalah perumpamaan solat lima waktu, yang dengannya Allah menghapuskan segala kesalahan dan dosa." (Muttafaq Alaih)

(2) SOLAT TAUBAT
Rasulullah bersabda : "Jika seseorang manusia melakukan dosa (kecil) lalu dia berwuduk dengan sempurna, mendirikan solat dua rakaat kemudian memohonkan ampunan kepada Allah, maka dia diampunkan dosanya. Lalu Nabi Muhammad s.a.w.membaca ayat ini: ‘Orang-orang yang melakukan perbuatan keji atau menganiayai dirinya, kemudian mereka ingat kepada Allah, lalu meminta ampun kepada Allah…" Dia  diampuni dosanya." (Ali B.Abi Talib)

(3) SOLAT JUMAAT
Hari Jumaat adalah terpenting dan paling utama dalam seminggu. Solat Jumaat menghapuskan keburukan  dan dosa. Rasullullah bersabda: "Barangsiapa berwuduk dengan sempurna, kemudian mendirikan solat  Jumaat dan dia mendengar khutbah dengan tekun, maka terampuni dosanya antara hari itu dengan Jumaat berikutnya dan ditambahkan tiga hari. Barang siapa yang melengah-lengahkannya, maka tiadalah pahalanya." (Riwayat Muslim).

(4) MEMBACA AMIN
Rasulullah bersabda : "Jika imam membaca amin maka bacalah amin. Sebab orang yang membaca amin  bersama aminnya malaikat, maka dia diampuni dosanya yang telah silam." (Riwayat Al Bukhari)

(5) BANGUN DARI RUKUK (Iktidal)
Rasulullah Bersabda : "Jika imam mengucapkan: "Sami' allahu liman hamidah’, maka berkatalah: "Allahumma rabbana lakal hamd’. Sebab, siapa yang ucapannya bertepatan dengan ucapan malaikat, maka dia di ampuni dosanya yang telah lalu." (Riwayat Bukahri)

(6) QIAMULLAIL
Sesungguhnya qiamullail adalah etika dan pekerjaan orang-orang yang baik dan bahagia. Rasululullah  bersabda : "Lakukanlah qiamullail. Sebab qiamullail itu tradisi orang-orang yang salih sebelum kamu dan sebagai pendekatan kepada Allah, penanggal dosa dan penghapus keburukan serta mengusir penyakit dari badan." (HR Ahmad.Tirmizi, Hakim dan Baihaqi)

(7) WUDUK
Rasulullah bersabda : "Jika seseorang Muslim atau Mukmin mengangkat wuduk, maka ketika membasuh mukanya, segala kesalahan kerana pandangan matanya keluar bersama-sama air atau bersama akhir ketitisan air. Jika dia membasuh kedua tangannya bersama air atau bersama akhir titisan air. Jika dia membasuh kedua kakinya, maka keluarlah dosa yang dilakukan kedua kakinya bersama air atau bersama  akhir titisan air, hingga dia bersih dari semua dosa." (Riwayat Muslim) Rasulullah bersabda : "Mahukah kamu  aku tunjukkan sesuatu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan dan mengangkat darjat? Sahabat menjawab: Mahu Ya Rasulullah! Nabi s.a.w berkata: "Menyempurnakan wuduk pada waktu subuh yang dingin dan banyak melangkah ke masjid serta menunggu solat jemaah setelah solat sunnah. Yang demikian itu  adalah ikatan kepada Allah." (Riwayat Muslim)



(8) AZAN
Azan adalah salah satu syiar Islam yang nyata dapat menghapuskan keburukan. Rasulullah bersabda : "Barangsiapa yang ketika selesai mendengar azan mengatakan : ‘Asyahadu an la ilaaha illallah wahdahu la syrikalalahu wa anna Muhammadan ‘abduhu wan rasulan wa bil Islami dinan. (Saya menyatakan tiada Tuhan selain Allah yang Maha Esa tanpa sekutu apa pun bagiNya. Saya menyatakan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya. Saya rela Allah sebagai Tuhan dan Islam sebagai agamaku, maka dia diampuni dosanya." (Riwayat Muslim) Rasulullah bersabda : "Orang yang azan itu diampuni dosanya sepanjang suaranya dan disaksikan oleh setiap (tumbuhan) yang kering dan yang basah. Orang yang menghadiri solat itu dituliskan 25 kali solat dan dihapuskan dosanya antara solat dengan solat berikutnya." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

(9) BERJALAN KE MASJID (Tempat solat)
Rasulullah bersabda : "Barang siapa bersuci (wuduk) di rumahnya, kemudian berjalan ke salah satu tempat ibadah untuk melaksanakan salah satu kewajipan terhadap Allah, maka kedua langkahnya itu sebagai penghapus dosa dan langkah yang lain mengangkat darjatnya." (Ibnu Majah)

(10) SEDEKAH
Rasulullah bersabda : "Takutlah kamu pada neraka!"Kemudian Nabi Muhammad s.a.w mundur dan memalingkan wajahnya, kemudian berkata: 'Takutlah kamu pada neraka!' Kemudian mundur dan
memalingkan wajahnya tiga kali, hingga kami mengira bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melihat neraka. Kemudian Nabi s.a.w berkata: 'Takutlah kamu kepada neraka walaupun dengan sepotong kurma dan jika tidak mendapatkannya, maka cukup dengan kalimah tayyibah." (HR Bukhari).

(11) PUASA
Rasulullah bersabda : "Barang siapa berpuasa satu hari di jalan Allah, maka Allah menjauhkannya dari neraka (sejauh perjalanan)70 tahun." (Abu Said al-Khudri).

(12) HAJI DAN UMRAH
Rasulullah bersabda : "Barangsiapa yang haji ke Baitullah (Kaabah) dan dia tidak berkata perkataan yang mencemarkan dan tidak melanggar syariat maka dia kembali seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya." (Abu Hurairah).

(13) TAWAF
Rasulullah bersabda : "Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Barang siapa yang tawaf tujuh kali, ia seperti memerdekakan seorang hamba."Saya mendengar beliau berkata: 'Tidaklah seseorang meletakkan satu kaki dan mengangkat kaki yang lainnya melainkan di hapuskan satu dosa darinya dan ditulis satu kebaikan baginya." (Umar Radhiyallahu Anhu).

(14) HARI ARAFAH
Rasululllah bersabda : "Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan manusia dari neraka selain dari hari Arafah. Sesungguhnya Allah membanggakan manusia kepada para malaikat, lalu berfirman: 'Apa yang dikehendaki mereka?' (Aisyah). Jelaslah bahawa sebenarnya banyak amalan yang boleh dilakukan untuk menghapuskan dosa yang telah kita lakukan selain dari kita memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadanya. Semua ini perlu kita ketahui agar amalan kita bukanlah suatu peniruan tingkahlaku tetapi kita amalkan kerana menuntut keredaan Allah dan ganjaran yang telah dijanjikan.



Update Iman anda
Antivirus dalam suatu perisian komputer perlu di'update' iaitu mengemaskini fungsi-fungsi tertentu antivirus tersebut bagi meningkatkan pertahanan dan kekuatan fungsinya melawan serangan virus kerana setiap masa pasti akan wujud pula virus yang baru yang mempunyai ciri-ciri tersendiri. Seseorang hamba Allah itu hendaklah sentiasa mengemaskini imannya kerana setiap masa sentiasa ada ujian dan dugaan yang bakal dihadapi. Hal ini perlu dilakukan kerana iman itu boleh meningkat dan menurun. Sebagaimana pendapat ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang berpegang bahawa iman boleh meningkat dengan amalan ketaatan dan boleh menurun dengan perbuatan dosa. Allah S.W.T berfirman:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat- ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Surah Al-anfaal:2)


Sebagaimana antivirus perlu sentiasa di'update', maka iman manusia juga perlu sentiasa diupdate dengan sentiasa mengingatkan manusia itu sendiri. Antara amalan yang baik untuk dilakukan bagi meng'update' iman  adalah;

1. Membaca dan mendengar Al-Quran
2. Mendengar tazkirah/nasihat daripada orang-orang soleh dan beriman
3. Berusaha meningkatkan kefahaman dalam Islam
4. Membanyakkan menyebut nama Allah.
5. Banyak meningati mati



opss...check balik hati anda! Bila anda rasa gelisah ketika melakukan perkara di atas, pasti ada masalah pada hati. Sebaliknya, jika berasa tenang ketika melakukannya, alhamdulillah anda perlu terus dan tingkatkan usaha :-)



"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat- ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah."

Moga ada manfaat bersama.

Betulkan yang silap, sebarkan yang benar,
Nukilan hamba yang fakir lagi lemah,
Syarif Hidayatullah
9.52 pagi Jumaat, 15 Jun 2012





























Tuesday 12 June 2012

Ya Allah! Aku jatuh hati

Kisah 1

Sudah dua hari Sam mendiamkan diri, selama itu juga dia tak pernah berborak dengan kawan-kawan sebilik yang lain walau aku sendiri yang paling rapat dengannya. Pelik sungguh, sebelum ini Sam tak pernah berkelakuan begini. Sam agak dikenali sebagai  seorang yang ceria dan periang. Mengapa kali ini Sam berkelakuan seperti ini? senyum pun tidak, aku mesti siasat punca Sam jadi begini, bisik hatiku.Kuberanikan diri mendekati Sam.  Perlahan ku ketuk daun pintu biliknya. Aku lihat Sam termenung panjang duduk di atas katilnya.

"Assalamualaikum Sam," salam yang kuhulur menghentikan lamunannya, mudah-mudahan tidak mengejutkannya dengan kehadiranku.

"Waalaikumussalam Aqif," Sam menyambut salam tanganku. Sam seperti memahami kehendak hatiku yang ingin tahu, tanpa sepatah aku memulakan persoalan, Sam memulakan bicara.

" Aqif, enta lah sahabat yang paling rapat dengan ana. Sebab tu lah enta dapat rasa ana ni seperti ada masalah, betul kan?"

" Benar, ana lihat enta seperti ada masalah, dah dua hari enta mendiamkan diri. Sam dah dua semester kita tinggal sebilik, ana dah banyak kenal dengan enta, kongsilah dengan ana, mungkin sedikit ana bantu pun jadilah," jawabku.

" Begini Aqif, sebenarnya, ana suka seorang muslimat, maksudnya ana jatuh hati dengan dia, " cerita Sam tertunduk-tunduk malu. Sam melanjutkan bicara."Dan rupanya pada masa yang sama, muslimat tu menyimpan perasaan kat ana. Suatu hari entah bagaimana, muslimat tu hantar SMS kat ana, dia luahkan perasaan kat ana. Dipendekkan cerita, kami dah berhubung lebih kurang sebulan. Sehinggalah suatu hari, ana merasa perbuatan ana ni salah dalam Islam. Ana pun mengambil kata putus untuk berhenti dari dosa ni," Sam meneruskan ceritanya, kulihat air mata halus bergenang di lopak mata Sam.

" Agak sukar ana lupakan muslimat tu, sebab tu ana dah dua hari macam ni," luah Sam sambil mengesat matanya." Tak mengapa Sam, anggap saja benda ni ujian daripada Allah, enta kena tabah, banyakkan berdoa. Ana faham , jatuh hati tu memang fitrah manusia, dan Islam tak pernah halang manusia untuk jatuh hati pada seseorang. Namun ingat Sam, dalam Islam, niat tak pernah menghalalkan cara, dan ana rasa enta telah melakukan sesuatu yang betul dan tepat, cuma enta usahlah terlalu melayan perasaan enta tu, " aku menasihati Sam sambil memegang bahunya.

" Hemmm... ana rasa enta betul, Insya Allah, ana cuba usahakan. " jawab Sam dengan sedikit kelegaan pada air mukanya." Sam, ana baru teringat! Esok ada program Majlis Mahabbah Rasulullah, ana sebagai ahli jawatankuasa program tu, ana nak jemput enta esok. Harap enta dapat datang sebab program ni setahun sekali, nanti ana 'send' mesej kat enta tentang program tu, " aku mengajak Sam. Alhamdulillah, terlintas pula tentang program ni di benak fikiranku. Harap disebabkan program ni dapatlah meringankan masalah Sam.

" Insya Allah Aqif, terima kasih kerana sudi jemput, tak sabar nak join program tu, " Sam menyahut ajakanku.

Aku berdoa semoga Allah membantunya.

....................................................................................................................................................................
Kisah 2

Subhanallah, apa yang menimpa rakanku, Samsuddin turut menimpa diriku. Tiba-tiba wujudnya perasaan "jatuh hati" ini di ruang kalbuku. Aku menyedari bahawa aku juga insan biasa. Kini barulah aku faham, mungkin disebabkan seseorang, boleh mengalir air mata. Entah mengapa kerinduanku padanya semakin terasa. "Ya Allah, perasaan apa yang menimpa diriku?" desas hatiku.

Aku tertarik dengan akhlak pekertinya, perkataannya yang sentiasa bersopan santun membuatku teringat-
ingat padanya.

AKHLAK YANG MULIA

Aku teringat syarahan guruku di dalam program Majilis Mahabbah Rasulullah, Ustaz Abu Zahrah 'Abdullah
Thahir bin Aiyub al-Qedahi ketika mengkhatamkan terjemahan Kitab Bidaayah as-Suul f Tafdhil ar-Rasul yang ada menyebutkan namanya. Antara kelebihannya, bahawa Allah telah memuji akhlaknya, Nabi Muhammad SAW dengan firmannya, "Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. " (Al-Qalam:4). Pembesar apabila membesarkan sesuatu perkara, menunjukkan bahawa perkara itu memang layak dibesarkan. Maka apakah pandangan kita apabila Allah Yang Maha Agung mengagungkan akhlak Rasulullah.


Adapun mengenai sifat lemah-lembutnya, seperti dalam firman Alah Ta'ala: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu)" (Aali 'Imran: 159)

Guruku, Ustaz Hazri al-Bindany juga menyebut namanya ketika mensyarahkan kitab Habibullah terjemahan kepada Kitab Syamail Muhammadiah tentang akhlaknya dalam suatu hadith yang panjang, diambil keratan hadith tersebut, Amru bin Ash menyatakan: "Rasulullah selalu menghadapkan wajah dan bersikap ramah, bahkan kepada orang yang berperangai paling buruk. Tujuan baginda, SAW adalah untuk menarik hati mereka"

Akhlaknya yang mulia, membuatku teringat suatu kisah,

"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir yang mana pada masa itu baginda bersama beberapa orang sahabat baginda. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya." Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula.


MENCEDERAKAN DIRI DEMI ORANG YANG DICINTAI

Hatiku mula sering mengkhayalkannya, fikiranku mula memikirkan walaupun masih belum dapat menggambarkan sifat sebenarnya. Entah mengapa aku merasa cemburu setelah mengetahui ada ramai lagi yang mencintainya, aku merasa lemah cintaku tak setanding cinta mereka kepadanya.

Ketika menulusuri sirah rasulullah, aku teringat tentang kisah Zaid bin Harithah yang juga disebutkan dalam kitab Fiqh Sirah karya Syeikh Muhammad al-Ghazali, ketika Rasulullah berdakwah ke Toif bersama Zaid. Baginda SAW dan Zaid bin Harithah telah disakiti oleh penduduk Toif setelah menolak dakwah baginda.  Ketika itu, Zaid sanggup mencederakan diri untuk melindungi orang yang dicintainya, Rasulullah SAW sehinnga kepala Zaid luka berdarah.

Mengalir air mataku ketika mendengar cerita guruku, Ustaz Hazri al-Bindany yang menceritakan kisah Talhah dalam perang Uhud. Talhah bin Ubaidillah telah menawarkan diri untuk melindungi orang yang dikasihinya Rasulullah SAW sehingga tangan beliau terpotong.

Kecewa dengan diriku, aku memikirkan bagaimana aku boleh mengaku mencintai baginda sedangkan pengorbananku untuk baginda pun tak sampai mana.

MENANGIS KERANA ORANG YANG DICINTAI

Sayup mendayu suara guruku, Ustaz Abu Zahrah 'Abdullah Thahir bin Aiyub al-Qedahi ketika mensyarahkan terjemahan Kitab Bidaayah as-Suul f Tafdhil ar-Rasul, ku lihat mengalir air mata beliau di samping suara yang menggambarkan sebak. Beliau menyampaikan satu kisah yang mahsyur ketika membahaskan kelebihan Rasulullah di dalam kitab tersebut iaitu batang tamar rindu kepada Baginda SAW, dan tidak pernah pun dari kalangan para anbiya berlaku seumpama demikian.

Pelepah tamar menangis

Jabir RA meriwayatkan seperti disebutkan dalam hadith Bukhari, Nabi SAW selalu bersandar pada sebatang pohon tamar, ketika menyampaikan khutbah Jumat, Sayyidina Abu Bakar mencadangkan agar dibina mimbar yang baru. Nabi SAW bersetuju dan sebuah mimbar yang terdiri dari 3 anak tangga dibangun. Ketika Nabi SAW duduk di atas mimbar yang baru untuk berkhutbah, para Sahabat mendengar pelepah tamar itu menangis seperti anak kecil. Nabi SAW mendekati pelepah kurma yang sedang menangis ini dan bertanya kenapa ia menangis. Pelepah tamar tersebut mengatakania menangis kerana Rasulullah tidak menggunakannya. Rasulullah saw mengatakan bahawa ia akan dibangkitkan bersama baginda dalam syurga,
barulah pelepah tamar itu senyap.

 
Aku takjub yang pelepah tamar pun menangis kerana cintanya kepada Rasulullah SAW, bagaimanakah pula  dengan diriku jika dibandingkan dengan pelepah tamar tersebut. Hari ni aku melihat ramai yang menangis kerana ditinggalkan kekasihnya, sungguh pelik ku rasakan sedangkan Rasulullah lah yang memberi syafaat kepada kita sebagai umatnya.

TERLALU CINTA SEHINGGA TIDAK DAPAT MENERIMA HAKIKAT

Kisah ini sering membuatku mengalirkan air mata, ketika menghayati kisah Umar di hari kewafatan Rasulullah SAW.

Di hari itu Umar telah berdiri di hadapan khalayak ramai dan mengikut riwayat menceritakan bahawa beliau telah terkeluar dari kewarasannya dengan berkata: "Sebenarnya terdapat beberapa orang munafiqin telah menyebut bahawa Rasulullah telah wafat, sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) tidak wafat, cuma beliau pergi menemui Tuhannya seperti Musa bin Amran pergi menemui Tuhannya, Musa menghilang diri untuk selama empat puluh malam, kemudian Baginda pulang semula setelah orang berkata, yang Musa telah mati. Demi Allah, Rasulullah (s.a.w) pasti akan pulang semula, sesiapa yang menyangka bahawa Rasulullah (s.a.w) telah
wafat mesti dipotong tangan dan kaki-kaki mereka.

Abu Bakr memecut kudanya, berlari dari rumahnya di al-Sanh, sesampainya ke perkarangan masjid beliau terus masuk ke dalam masjid. Tanpa bercakap sepatah pun dengan orang ramai beliau memasuki bilik Aisyah menuju ke tempat Rasulullah yang sedang berbaring ditutupi dengan kain. Beliau membuka tutupan muka Rasulullah (s.a.w, terus memeluk dan mencium muka Rasulullah sambil menangis dan berkata: "Demi dikaulah ibu ayahku, Allah tidak akan mengenakan kau dua kematian, adapun kematian yang ditulis ke atas mu ini sudah kau hadapinya".

Setelah itu Abu Bakr dan Umar keluar menemui orang ramai, di mana Abu Bakr berkata: "Wahai Umar sila duduk" Namun Umar enggan untuk duduk. Orang ramai pun melingkungi Abu Bakr dan membiarkan Umar di situ. Abu Bakr berucap kepada sidang hadirin dengan katanya: "Adapun selepas tahmid dan syukur maka ingin ku menyebut di sini, sesiapa di antara kamu yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati ".

Kemudian beliau membaca ayat Allah: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (yakni murtad). Maka sesiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur". (ali-Imran : 144)

Kata Ibn Abas: Demi Allah, di masa itu manusia ramai bagaikan tidak mengetahui bahawa Allah telahpun menurunkan ayat ini kecuali setelah Abu Bakr membacanya, dengan itu orang ramai pun menerima dan membacanya. Kata Ibn al-Musaiyab: Umar telah menyebut: "Demi Allah, sebaik sahaja aku terdengar apa yang diunggapkan oleh Abu Bakr itu aku terasa kakiku sudah tidak berdaya lagi untuk berdiri, memanglah aku terus terhumban ke tanah sebaik sahaja mendengar apa yang dibaca oleh Abu Bakr itu, kerana aku sudah dipastikan dengan kewafatan Rasulullah".

Aku menyedari bahawa aku jauh ketinggalan dalam mencintai baginda. Pengorbanan yang ku lakukan belum cukup untuk membuktikan cintaku pada baginda. 



Ya Rasulullah,
aku mengaku bahawa aku mencintaimu,
tapi di mana bukti yang aku letakkan?

Ya Rasulullah,
aku mengaku bahawa aku mencintaimu,
tapi aku masih lagi melakukan noda dosa.

Ya Rasulullah,
aku mengaku bahawa aku mencintaimu,
tapi setitis air mata pun belum pernah aku curahkan demi mu.

Ya Rasulullah,
aku mengaku bahawa aku mencintaimu,
selawat kepadamu dan sunnah-sunnahmu amat kedekut aku lakukan demi mu.

Wahai anak muda!
Kekasih yang sebenar adalah kekasih yang sanggup mencederakan diri demi orang yang dikasihinya.
Wahai anak muda!
Kekasih yang sebenar adalah kekasih yang menangis kerana rindu kepada kekasihnya.
Wahai anak muda!
Kekasih yang sebenar adalah kekasih yang menyebabkanmu tidak dapat menerima hakikat kehilangannya.

Sedarlah, semua itu tidak ada pada cinta manusia biasa melainkan pada Rasulullah SAW. Usah menagih cinta manusia sedangkan cinta Rasulullah masih tidak 'settle'. Cinta yang sejati hanya untuk Rasulullah, Baginda lah orang yang memberi syafaat pada hari Kiamat, baginda lah orang yang meyebut umatnya ketika saat dekat wafatnya. Bukan kekasih manusia biasa!

2 hari kemudian, aku mendapat SMS daripada Samsuddin:

" Assalamualaikum, Aqif, terima kasih kerana menjemput ana ke program enta. Disebabkan program ni ana telah faham hakikat cinta sebenar kepada siapa kita tujukan selayaknya. Ana telah menjumpai 'turning point' untuk ana kembali ke matlamat hidup sebenarnya... Allohumma solli 'ala Muhammad "

"Alhamdulillah, setinggu kesyukuran aku panjatkan kepada-Mu ya Allah, moga hidayah dan bantuan-Mu sentiasa beriringan dengan usaha dakwah ini ", bisik hatiku kesyukuran. Aku berharap akan ramai lagi yang sedar akan hakikat ini.


Ya Rasulullah,
lemah lembutmu, tawadhukmu, zuhudmu, kasih sayangmu, budi pekertimu, bahkan seluruh jiwa ragamu membuat hatiku rindu padamu.

Ya Allah, aku jatuh hati!
pada Rasulullah!

Hadis Rasulullah SAW:
"Sesiapa melihatku dalam mimpi, maka dia benar-benar melihat diriku kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku"
Alhamdulillah dimimpikan Rasulullah ketika umurku 8 tahun meskipun tak dapat mengingati wajah baginda secara jelas. Berdoa moga dipertemukan lagi.

Nukilan seorang hamba yang fakir lagi lemah,
Syarif Hidayatullah.
11.55 pagi, 13 Jun 2012 di Institut Hadis Darusunnah, Pahang