Tuesday 24 January 2012

Cinta Remaja, bila kesudahannya?

Isu cinta dan couple merupakan antara isu yang masih hangat diperkata dan dibincangkan sehingga pada hari ini termasuklah yang dari sekolah rendah hingga yang berumah tangga. Setiap manusia mempunyai pandangan yang tersendiri terhadap isu termasuklah saya sendiri. Tulisan yang saya paparkan hanyalah berdasarkan pandangan peribadi bersadur ilmu yang telah saya ambil dari orang yang lebih arif. Moga ada manfaat buat kalian. 


'Couple' menurut istilah kamus bermasuk pasang atau ganding. Couple sering dikaitkan dengan dua benda yang berkait antara satu sama lain seperti 'a couple of shoes' iaitu sepasang kasut dan contoh lainnya ' a married couple' iaitu sepasang pengantin.


Namun begitu, kefahaman tentang couple dari sudut pemahaman orang Malaysia lebih menjurus kepada pasangan kekasih. Sebut sahaja tentang 'couple' pasti terbayang di benak kita tentang sepasang lelaki dan wanita yang sedang mabuk cinta, kasih mengasihi antara satu sama lain, perasaan asmara yang membara antara pasangan. Biasanya 'couple' ini boleh bersentuhan antara satu sama lain menunjukkan pengorbanan cinta sejati antara mereka. Kefahaman ini semakin menebal di kalangan orang Malaysia khususnya para remaja apabila ditanya tentang kefahaman mereka tentang couple.


Couple dan cinta adalah dua benda yang sudah pasti banyak perbezaan walaupun dari segi bahasa tetapi masih ada sedikit perkaitan antara satu sama lain. Cinta secara ringkas adalah sesuatu perasaan suka dan ingin mengasihi akan sesuatu. Sudah tentu skop cinta itu luas misalnya cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, cinta kepada Sunnah, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada kekasih dan lain-lain dan tidak perlulah diterangkan secara jelas dan lengkap tentang skop cinta yang luas itu kerana ingin difokuskan perkaitan cinta antara couple. Walaubagaimanapun cinta sering sekali dikaitkan dengan couple. Orang yang bercouple adalah dikatakan bercinta dengan pasangannya. Begitu rendah sekali martabat cinta apabila bercouple itu dikatakan bercinta sedangkan cinta itu bersifat suci. Namun manusialah yang mengotorkan cinta yang suci itu.






Pada hari ini, bercouple itu telah menjadi trend atau budaya tanpa mengira agama dan bangsa. Lebih daripada itu, seseorang dikatakan kolot dan ketinggalan zaman apabila tidak bercouple. Itulah pemikiran remaja hari ini.
Berbalik kepada cinta, setiap manusia yang lahir itu dikurniakan oleh Allah perasaan cinta semenjak lahir lagi dan menjadi fitrah bagi manusia untuk memiliki perasaan semula jadi tersebut. Tanpanya, amat sukar digambarkan tentang kehidupan manusia yang akan terjadi andai perasaan tersebut tidak wujud. Allah menjadikan perasaan cinta tersebut merupakan salah satu pengantara antara manusia dengan sesuatu yang lain misalnya seseorang yang cinta kepada ibu bapanya akan menjadikan dia taat kepada keduanya. 


Sudah menjadi lumrah manusia bahawa lelaki akan tertarik kepada wanita dan wanita akan tertarik kepada lelaki. Namun begitu, sesuatu yang bercanggah dengan lumrah tersebut seperti lelaki yang suka kepada lelaki sudah tentu ada sebab dan masalah kepada perlakuannya. Dan sudah menjadi lumrah dua jantina ini akan saling tertarik dengan yang lain  Allah berfirman " Dijadikan indah pada (pandangan)manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi ALLAH lah tempat kembali yang baik(Syurga). (Ali Imran: 14).

Manusia sendirilah mengotorkan nilai cinta yang suci itu sehingga merendahkan martabatnya dengan nafsu. Hal inilah sebenarnya yang dikaitkan dengan trend bercouple. Sudah menjadi kebiasaan pada hari ini, orang yang bercouple boleh berpegang tangan, bersentuhan tubuh, berbonceng motosikal bersama pasangan, berdua-duaan di taman atau tempat yang sepi. Semua ini dilakukan kononnya atas nama cinta yang sejati walaupun telah bertentangan dengan batas-batas Islam. Hal ini pasti akan mengundang kepada perkara yang sangat dibenci oleh Allah iaitu zina. Inilah yang menjadi salah satu masalah kebejatan sosial masyarakat hari ini. Orang yang bercouple sentiasa mencari hujah atau dalil yang akan berkepentingan bagi membolehkan perlakuannya. Mereka bijak menyusun kata bersulamkan hujah akal. Akibat kebiasaan atau 'habit' seperti inilah yang menghalang mereka menerima teguran dan nasihat. 


Jatuh cinta? couple? dua perkara sudah menjadi perkara biasa yang dihadapi dalam kehidupan seorang remaja yang sedang meningkat dewasa. Semuanya terpulang kepada diri indidvidu itu bagaimana cara dia menangani perkara tersebut. Jatuh cinta ini adalah biasa terjadi kerana sifatnya yang lumrah pada fitrah manusia. Salahkah jatuh cinta? Bolehkah kita merasa suka pada seseorang itu? Adakah Islam menghalang perasaan itu? Hmmm, insyaAllah akan saya huraikan secara ringkas


Silapnya segelintir pendakwah mahupun agamawan hari ni dengan serta merta atau secara segera terus menghukum atau menuding jari(kesalahan) kepada mereka yang terlibat dengan jatuh cinta ini. Akibatnya, ada antara mereka yang mahu mengubah diri atau mendekatkan diri kepada ajaran Islam yang sebenar merasa bersalah dan mula menjauhkan diri dari ajaran agama. Perkara ini hanya menyukarkan dakwah kepada golongan seperti ini. Sepatutnya pendakwah hendaklah menjelaskan kepada golongan yang terlibat dengan jatuh cinta secara hikmah dan terang. Jatuh cinta atau timbulnya perasaan suka kepada seseorang itu tidaklah dilarang dalam Islam. Cuba kita imbas kembali bagaimana Siti Khadijah jatuh hati kepada Rasulullah SAW disebabkan kejujuran dan amanah baginda dalam menguruskan perniagaan Siti Khadijah. Dalam kisah tersebut, Siti Khadijah mengambil jalan selamat iaitu melamar Rasulullah SAW melalui pembantunya.


Setakat yang saya tahu, belum saya pernah belajar atau dengar tentang nas yang mengharamkan perasaan jatuh cinta, tetapi untuk Couple ada iaitu:


"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk". Al-Isroo:32

Walaupun tidak diterangkan secara jelas tentang pengharaman Couple dalam ayat di atas, tapi Allah telah memberi penegasan tentang menjauhan diri dari zina. Ini bermaksud jalan-jalan mendekati zina juga adalah dilarang dan Couple juga adalah jalan ke arah itu! Nauzubillahi min zalik.

    Persoalannya, adakah Siti Khadijah menjalinkan apa-apa hubungan atau 'couple' dengan baginda sebelum nikah? Pasti orang yang tahu akan menjawab TIDAK! Sesungguhnya Islam tidak menghalang perasaan tersebut dan andai Islam melarang sudah tentu menyulitkan umatnya. Bahkan Islam menyediakan jalannya. 


Berikut merupakan antara soalan atau keluhan bagi "golongan couple' ni mencari jalan untuk membenarkan perbuatan salah yang mereka lakukan. Kadang-kadang adalah perlu bagi kita menggunakan hujah atau dalil berdasarkan logik akal. Kalau anda bagi dalil Quran atau Hadis pasti ada antara golongan mereka ni yang tidak mempedulikan nasihat anda.


1) " alah, kami bukannya melakukan perkara yang tak senonoh pun, kami tak berzina pun, sekadar berjumpa"
anda jawablah: tahukah kamu sesungguhnya syaitan itu sangat licik untuk menggoda manusia? ia mempunyai pelbagai cara untuk menjerumuskan manusia ke arah kejahatan. Ingatkah anda kisah Hawa yang digoda Iblis sehingga termakan buah pohon larangan Allah di syurga? Inikan pula anda sebagai manusia biasa!


2) " alah bukannya ada apa-apa pun, sekadar study group je.
anda jawablah: takkan la study group berdua je? Ramai lagi rakan-rakan sekelas anda yang boleh anda ajak berbincang kan. Takkan dia seorang saja yang pintar dalam kelas anda tu!


3) (yang kononnya couple bersyariat) " alah..kami saling berhantar mesej tazkirah, sampai time solat bagi mesej untuk solat, hantar hadis dan ayat Quran! takkan tak boleh? "
anda jawablah: Alahai, takkan dia saja anda hantar tazkirah? kawan sekelas awak? adik-adik awak? jiran awak? hantar la mesej tazkirah kepada mereka, biar mereka sentiasa ingat Allah, solat pada waktunya, tak gitu? Ingatlah, niat tak menghalalkan cara, memang anda menghantar mesej tazkirah kepada dia, tapi Allah tahu apa yang tersirat di hati anda!


4) "alah kami bukan couple, dia abang angkat saya, saya adik angkatnya"
anda jawablah: aduhai..kamu ada abang, kamu ada adik buat apa lah nak tambah lagi, kalau nak sangat saudara angkat, tu sana pergi rumah anak yatim, banyak yang perlukan kasih sayang! ambil lah mereka sebagai saudara angkat, habis cerita..


5) " dia beri saya semangat dan motivasi dalam pelajaran saya! Saya bersemangat ke sekolah. " 
anda jawablah: kenapa tak jadikan Rosulullah SAW sebagai sumber inspirasi? Imam Syafi'e, Imam Nawawi, pejuang-pejuang Islam? kenapa dia seorang saja yang beri anda semangat? 


Ada pelbagai lagi alasan dan trick  'golongan couple' ni untuk menghalalkan perbuatan mereka. Salahkah cinta? Tidak, cinta itu tidak salah! Kesilapan remaja hari ini adalah menganggap cinta lah segala-galanya, remaja terlalu memikirkan cinta, terlalu memikirkan jodoh! Bukankah Allah dah aturkan semua perkara itu untuk kita? Kenapa kita terlalu sibuk untuk memikirkan perkara itu? Terdapat pelbagai perkara penting yang lain yang patut difikirkan! Duhai remaja cuba renungkan persoalan ini:

1) Adakah anda mampu jamin bahawa anda akan hidup 10 tahun akan datang lagi? 
2) Sudah bersediakah anda untuk menghadapi soalan Munkar dan Nakir di alam barzakh?
3) Sudah tinggikah kefahaman anda dalam ilmu Islam? Sudahkah anda membersihkan karat-karat kejahilan dalam diri anda?
4) Sudah cukupkah anda mencintai Rosulullah SAW? Bagaimanakah cara anda menzahirkannya? Bagaimanakah anda mengikuti sunnah baginda?
5) Di mana keprihatinan dan cinta anda terhadap saudara-saudara Muslim anda yang sedang tertindas? Apakah yang anda lakukan terhadap golongan fakir, miskin dan anak yatim? Bagaimana pula saudara anda di Palestin, Iraq, Afganistan? 
6) Apakah peranan anda dalam menyedarkan masyarakat hari ini yang semakin jauh dengan cara hidup Islam?
7) Sejauh mana pengorbanan anda dalam misi menegakkan Islam dalam diri anda dan masyarakat?


Dan pelbagai lagi persoalan-persoalan hidup yang remaja hari ini perlu renungkan. Bagi saya, cinta manusia itu fitrah namun bukanlah keutamaan atau matlamat hidup. Sebagai konklusi, renungkanlah firman Allah :


" Aku (Allah) tidak menjadikan jin dan manusia melainkan agar beribadah kepadaKU " Az-Zariyat: 56


Sekadar pandangan peribadi insan, betulkan yang silap, perbaiki yang kurang.
Syarif Hidayatullah

No comments:

Post a Comment